Sunday, January 18, 2009

Perbandingan Hubungan Perkataan Dengan Makna Berdasarkan Berita Bernama (Analisis Konstratif)

TAJUK: Perbandingan Hubungan Perkataan Dengan Makna Untuk Berita Tarikan 'Gua Madu' Di Gua Musang dan Time To Visit Honey Cave In Gua Musang, Kelantan

(i)PENDAHULUAN
Kertas ini akan membandingkan persamaan dan perbezaan hubungan perkataan dengan makna untuk berita 1 iaitu “Tarikan 'Gua Madu' Di Gua Musang” dan dan berita 2 iaitu “Time To Visit Honey Cave In Gua Musang, Kelantan” dari aspek sinonim antara intrabahasa serta interbahasa.

(ii)TUJUAN
Kertas ini bertujuan untuk memperlihatkan analisis konstratif antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Analisis konstratif ini akan dibuat perbandingan bagi melihat persamaan dan perbezaan hubungan perkataan dengan makna dalam kedua-dua bahasa tersebut dari aspek sinonim. Analisis konstratif ini juga akan dilihat dari segi intrabahasa iaitu dalam bahasa itu sendiri dan interbahasa iaitu perbandingan antara kedua-dua bahasa. Dalam kertas kajian ini, saya akan menfokuskan kepada kata nama dalam rencana berita tersebut dalam melihat hubungan perkataan dengan makna dari aspek sinonimi.

(iii)KAEDAH
Kaedah kajian yang saya guna dalam menganalisis data dalam berita tersebut ialah menggunakan kaedah korpus bahasa yang diperolehi dengan menggunakan “TextSTAT” yang diperolehi daripada muat turun dalam internet. Sementara itu, rencana berita yang dianalisis saya perolehi dari laman web Bernama bertarikh 16 Januari 2009.

(iv) DAPATAN DAN ANALISIS
Pada umumnya, kata sinonim ini yang berasal daripada bahasa Yunani difahamkan sebagai perkataan atau frasa yang mempunyai erti atau makna yang sama. Sinonim bermaksud hubungan yang memperlihatkan persamaan identikal atau persamaan hampiran (Wikipedia, 16 Januari 2009). Menurut Encyclopedia of the English Language, sinonim ialah leksem yang mempunyai makna yang sama (S.Nathesan, 2004:467). Pernyataan itu turut disokong oleh Jackson yag menjelaskan sinonim ialah menangani kesamaan makna, lebih daripada satu kata yang mempunyai makna yang sama atau alternatifnya satu makna dinyatakan oleh lebih daripada satu kata (Hasmidar Hassan,2000:134). Sementara itu, Abdullah Hassan (1982 : 241) dalam buku Linguistik Am untuk Guru Bahasa Malaysia menyatakan sinonim ialah:
“ Kata-kata sinonim terdiri dari kata-kata yang mempunyai makna yang sama”. Maksud “ sama “ ini tidaklah perlu seratus peratus sama seperti yang mungkin dianggap oleh ramai orang “.
Dalam kertas ini saya hanya menfokuskan analisis data dari aspek sinonim kepada kata nama “gua”. Penggunaan kata nama “gua” ini kekerapan yang sama iaitu muncul sebanyak 8 kali dalam kedua-dua rencana samada dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Peratusan kekerapan perkataan “gua” dalam rencana berita dalam bahasa Melayu ialah 1.96% manakala peratusan kekerapan dalam bahasa Inggeris pula ialah 2.02%.
Berdasarkan data yang diperolehi, didapati kata nama “gua” dalam bahasa Melayu ini mempunyai sepadan dengan kata “cave” dalam bahasa Inggeris. Pengguna kata nama “gua” dalam bahasa Melayu bermaksud lubang besar di kaki bukit (gunung dll). Hal ini berdasarkan data di bawah:
(I)... Sungai_Galas yang mengalir berhampiran gua berkenaan juga turut menghiasi keindahan....
(II)... ua dan menyediakan ruang solat di dalam gua terbabit yang belum pernah berlaku...
Sementara itu, dalam berita bahasa Inggeris kata “cave” bermaksud lubang besar di kaki bukit. Hal ini berdasarkan data berikut:
(I)....villagers' creative efforts to keep the cave clean and neat for the comfort of...
(II)...Madu" has drawn tourists to visit the cave at Kampung_Batu_Papan near here.
Berdasarkan data diatas didapati, kata nama “gua” mempunyai hubungan perkataan dengan makna dari aspek intrabahasa. Hal ini demikian kata “gua” ini mempunyai persamaan makna dengan perkataan “cave” dalam bahasa Inggeris dalam berita tersebut iaitu merujuk kepada tempat atau kawasan yang berlubang besar di kaki bukit.
Seterusnya, saya akan menganalisis kata nama dari aspek intrabahasa. Saya mendapati kata nama “gua” ini mempunyai makna kolokasi. Hal ini demikian kata “gua” ini telah mengalami perluasan makna dalam masa kini iaitu digunakan bersama kata nama yang lain untuk merujuk tempat. Misalnya dalam data berikut:
(I) ...yang dianggap tertua, tumbuh di kawasan gua berkenaan, menggambarkan gua_batu_ kapur....
(II) ...ikan suasana kawasan itu yang mempunyai gua kapur dengan ketinggian lebih dari 1,00...
Berdasarkan contoh (I) dan (II) didapati kata “gua” digunakan secara bersama dengan kata nama yang lain seperti kapur dan batu kapur yang masih merujuk makna tempat. Hal ini menunjukkan hubungan sintagmatik dalam ayat (I) dan (II) yang dilihat dengan kehadiran perkataan “gua” dengan perkataan lain khususnya kata nama tak hidup iaitu “batu kapur” dan “kapur”. Hubungan sintagmatik ini berdasarkan pernyataan Palmer yang menyatakan hubungan sintagmatik merupakan hubungan secara linear antara kata atau unsur-unsur leksikal yang berada dalam satu tempat atau lingkungan yang sama( F.R.Palmer,1989 : 74 ) dalam buku Semantik.

(v) KESIMPULAN
Secara tuntasnya, didapati kata nama “gua” ini bersinonim dengan perkataan “cave” dalam bahasa Inggeris. Hal ini demikian, hubungan perkataan dengan makna ini dapat ditunjukkan melalui hubungan sintagmatik dalam berita tersebut.

RUJUKAN
Abdullah Hassan. 1982. Linguistik Am Untuk Guru Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti
Hasmidar Hassan.2000. Sinonimi Dalam Bahasa Melayu Satu Analisis Semantik. USM. Pulau Pinang
Kamus Dewan Edisi keempat. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
R. F.Palmer. 1989. Semantik (Penterjemah: Abdullah Hassan) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
S.Nathesan. 2004. Kata Bersinonim Dalam Bahasa Melayu: Satu Penelitian. Jurnal Dewan Bahasa.
Wikipedia. 5 Mac 2008. Sinonim. Mediawiki < http://ms.wikipedia.org/wiki/sinonim > [17 Januari 2009]

Disediakan oleh:
13 Mohd Saiful Bahri Bin Mohd Shah

No comments: